Monday, June 2, 2008

HARGA MINYAK MUNGKIN NAIK

Harga minyak mungkin naik mulai Ogos - Shahrir

02/06/2008 7:36pm

KUALA LUMPUR 2 Jun — Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini membayangkan harga minyak petrol dan diesel akan naik mulai Ogos depan.
"Ia akan berlaku... harga petrol akan naik, saya fikir mungkin dalam Ogos tahun ini apabila sistem subsidi diberi penstrukturan semula,” katanya.
Kenaikan harga minyak itu selari dengan penstrukturan mekanisme baru skim subsidi minyak yang dinikmati rakyat kini.
"Sudahpun ada beberapa cadangan dan mekanismenya sudah disampaikan kepada Kementerian Kewangan dan ia akan diputuskan secara terbaik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.
Beliau berkata walaupun harga minyak naik, subsidi minyak masih akan dinikmati rakyat berasaskan keperluan bukannya penggunaan.
"Kalau hari ini kita lihat subsidi yang kita terima tu, dia berasaskan kepada jumlah yang kita pakai. Kalau kita guna 200 liter sebulan pun kita akan dapat subsidi bagi setiap liter yang kita beli, kalau kita guna hanya 100 liter pun kita akan dapat subsidi, jadi bermakna tak ada sekatan kepada subsidi yang kita peroleh kerana ia berasaskan kepada kegunaan kita.
"Itu bermakna ia satu sistem subsidi yang tak terjurus kepada masalah.
Sepatutnya subsidi itu kepada kumpulan yang memerlukan pertolongan dan memerlukan subsidi, bukan hanya diberikan ikut kemampuan kita menggunakannya (bahan yang bersubsidi),” katanya.
Shahrir berkata penstrukturan itu juga adalah antara pendekatan kerajaan dalam menangani peningkatan beban tanggungan subsidi berikutan kenaikan mendadak harga minyak dunia sehingga mencecah lebih AS$130 setong ketika ini.
Beliau berkata jumlah subsidi yang dijangka ditanggung kerajaan untuk petrol, diesel dan LPG tahun ini ialah RM56 bilion dan ia berbeza dari tahun 2000 hingga 2007 iaitu RM37.4 bilion.
Shahrir berkata larangan penjualan petrol dan diesel oleh stesen minyak beroperasi dalam lingkungan 50km dari sempadan kepada kenderaan asing, adalah hanya langkah sementara.
Katanya larangan itu mungkin sehingga sistem pengurusan subsidi bahan api yang sesuai diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi pada Ogos ini.
"Ini adalah tindakan sementara dan ia bukan satu tindakan yang berpanjangan kerana akhirnya kerajaan akan uruskan soal subsidi petrol dan diesel.
“Sekatan ini perlu untuk halang kenderaan masuk hanya untuk ambil minyak seterusnya membuat rakyat sedar memang besar subsidi yang diberikan kepada petrol dan diesel. Apabila sistem pengurusan subsidi dapat kita putuskan, sekatan tak akan timbul lagi,” katanya.
Beliau berkata larangan penjualan itu sudah berkuatkuasa di sempadan Malaysia dan Thailand hari ini manakala bagi sempadan Singapura, ia akan berkuatkuasa pada 9 Jun ini.
"Larangan penjualan minyak itu tidak membabitkan mereka yang menunggang motosikal kerana kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap golongan yang berpendapatan rendah dan membuat keputusan untuk mengecualikan mereka,” katanya.
Shahrir berkata beliau tidak melihat larangan itu akan menjejaskan ekonomi negara walaupun terdapat rungutan daripada pengusaha stesen minyak terbabit.
"Saya dapati daripada laporan yang diterima memanglah perniagaan di sebelah sempadan itu dari segi pelanggan kereta kenderaan Thailand bisnesnya di stesen minyak itu telah berkurang sikit, dah tak berpusu-pusu macam dulu.
"Jika ekonomi negara bergerak hanya kerana penjualan barangan subsidi, maknanya kita tak mantap. Saya tak lihat bahawa ia boleh menimbulkan masalah dari segi ekonomi,” katanya.

— BERNAMA

Sunday, June 1, 2008

INSENTIF GUNA NGV

Insentif guna NGV – Najib

SHAH ALAM 15 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji penambahan insentif yang mungkin diberikan kepada orang ramai sekiranya bilangan kenderaan gas asli (NGV) di negara ini semakin bertambah.
Timbalan Perdana Menteri berkata, buat masa sekarang penggunaan kenderaan NGV di negara ini masih rendah berikutan kekurangan infrastruktur merangkumi pusat ubah suai dan stesen gas asli mampat (CNG).
Katanya, sehingga kini terdapat hanya 19,000 NGV yang mana 99 peratus daripada jumlah itu adalah teksi bandar.
‘‘Jika melihat dari prospek ekonomi, penggunaan CNG ini lebih menjimatkan terutama bagi negara-negara yang mengimport petrol dan diesel dan ia mampu mengurangkan kebergantungan kepada negara lain.
‘‘Semuanya kini terletak pada kita, sama ada untuk mengubah kepada penggunaan CNG atau tidak dan pada masa sama banyak negara di dunia yang mengaplikasikan penggunaan CNG ini.
‘‘Di pihak kerajaan, kita akan memantau usaha-usaha menggalakkan penggunaan CNG yang telah dijalankan selama ini selain mengkaji insentif-insentif baru yang boleh diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan bas CNG dan menyaksikan majlis memeterai perjanjian Pembekalan Bas CNG dan Pengurusan Pinjaman antara Nadicorp Holdings dan Samsung Corporation di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo; Pengerusi Eksekutif Nadicorp Holdings, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh dan Naib Presiden Samsung Corporation, Kim Ki- Jung.
Mengenai pemberian insentif, Najib berkata, kerajaan buat masa ini menumpukan kepada kenderaan berat dan bas dengan memperkenalkan insentif khas seperti geran kepada syarikat bas untuk membeli bas NGV.
Selain itu, katanya, kerajaan juga mengurangkan kadar cukai jalan untuk NGV dan mengurangkan duti import pelbagai peralatan NGV bagi menggalakkan lebih banyak kenderaan bertukar kepada CNG.
Pada masa sama, ujar beliau, kerajaan turut berusaha dengan pelbagai cara menggalakkan syarikat swasta menubuhkan pusat ubah suai untuk menukarkan kenderaan kepada NGV.
Najib berkata, kerajaan juga telah mengarahkan Petronas menyediakan 200 stesen CNG seluruh negara sebelum akhir tahun 2008.
Selain itu, beliau meminta agar syarikat swasta tampil memberi cadangan dan maklum balas supaya kerajaan boleh menghasilkan formula, polisi, pendekatan bersesuaian dan pada masa yang sama bersama-sama meningkatkan kesedaran orang ramai untuk bertukar kepada NGV.

Sumber: Utusan Malaysia

NGV MELETUP

NGV meletup: Penjelasan Petronas

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Kejadian but sebuah kereta meletup selepas mengisi gas asli untuk kenderaan (NGV) di sebuah stesen minyak Petronas di Jinjang semalam mungkin berpunca daripada tabung gas untuk kimpalan.
Petronas Dagangan Berhad dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini menjelaskan, siasatan awal pihaknya mendapati tabung gas kimpalan itu diletakkan di dalam but kereta itu berhampiran dengan tangki gas NGV.
Menurut kenyataan itu, tangki NGV kenderaan yang terlibat didapati tidak rosak dalam kejadian itu.
‘‘Bukan tangki NGV yang meletup tetapi tabung gas kimpalan itu (yang biasanya mengandungi gas oxy-asetilena),’’ kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, Petronas menasihatkan pengguna NGV supaya mematuhi langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan termasuk mengelak daripada meletakkan bahan mudah terbakar berhampiran tangki gas NGV.
Pengguna juga diminta tidak merokok, menggunakan telefon bimbit dan mematikan enjin semasa mengisi minyak atau gas bagi mengelak daripada kejadian tidak diingini.

Sumber:Utusan Malaysia

200 Stesen NGV

Petronas diarah sedia 200 stesen NGV

KUALA LUMPUR 13 Mei - Kerajaan telah mengarahkan Petronas membina 200 buah stesen gas asli untuk kenderaan (NGV) menjelang hujung tahun ini bertujuan mengukuhkan infrastruktur bagi menggalakkan penggunaan bahan bakar itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 25 buah stesen NGV dijangka siap pada hujung tahun ini manakala 100 lagi akan disiapkan tahun depan.
Tambahnya, pada bulan ini sebanyak dua buah stesen NGV akan disiapkan dan secara tidak langsung kesemua stesen itu penting bagi menampung keperluan 10,700 kenderaan yang menggunakan bahan bakar tersebut.
''Ketika ini di seluruh Semenanjung sebanyak 73 stesen NGV sedang beroperasi,'' katanya ketika menjawab soalan Dr. Che Rosli Che Mat (Pas-Hulu Langat) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Shahrir, NGV telah digunakan sebagai bahan bakar alternatif bagi kenderaan persendirian, perdagangan dan pengangkutan awam di negara ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, buat masa ini, gas asli cecair (LNG) tidak digunakan sebagai sumber tenaga dalam negara tetapi dihasilkan bagi keperluan eksport.
''Namun begitu, kebanyakan sektor industri menggunakan gas asli sebagai sumber tenaga yang disalurkan melalui talian paip gas terus ke kilang dan pusat janakuasa elektrik,'' ujarnya.

Sumber:Utusan Malaysia

PETROL + 40 SEN

Kenaikan petrol 40 sen tak bebankan rakyat

Oleh Kamarulzaidi Kamis

KENAIKAN harga petrol sehingga 40 sen dijangka tidak terlalu membebankan rakyat dan memberi kesan buruk ketara terhadap ekonomi Malaysia berikutan jangkaan peningkatan inflasi yang masih terkawal. Ketua Jabatan Ekonomi, London School of Economics and Political Science (LSE), Prof Danny Quah, berkata rakyat perlu menerima hakikat bahawa mereka terpaksa berdepan kenaikan harga petrol dan diesel berikutan harga minyak global akan kekal tinggi. "Apabila minyak dijangka kekal atas paras AS$100 satu tong, tidak ada jalan lain, selain memansuhkan subsidi kerana kerajaan terpaksa memperuntukkan sehingga RM56 bilion berdasarkan harganya yang ketika ini melebihi AS$130 satu tong.

Sumber: Berita Harian

TIADA LAGI SUBSIDI MINYAK

Tiada lagi subsidi minyak - Diberi terus kepada pembeli layak - Mekanisme belum diumum

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMANdan Oleh JAMDI NASIR

KOTA KINABALU 31 Mei – Tiada lagi subsidi akan diberikan kepada diesel dan petrol yang dijual di negara ini apabila satu mekanisme baru diperkenalkan oleh kerajaan Ogos ini bagi menangani beban kewangan kerajaan yang semakin meningkat.
Sebaliknya subsidi itu akan diberikan terus kepada pengguna yang layak apabila mereka mengisi bahan api itu di stesen-stesen minyak di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, melalui mekanisme itu subsidi diubah daripada di peringkat pengeluaran sekarang ini ke peringkat jualan.
“Jadi minyak yang dibekalkan dan dibawa dari depot ke stesen-stesen minyak bukan minyak yang bersubsidi.
“Maknanya harga minyak di pam ialah harga tanpa subsidi. Apabila pengguna beli baru dia dapat subsidi. Itupun kalau dia layak terima subsidi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi taklimat program dan aktiviti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sabah (KPDNHEP) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini hari ini.
Ketika ini kerajaan membayar subsidi minyak kira-kira RM45 bilion setahun dan angka itu akan terus meningkat ekoran peningkatan harga minyak mentah di pasaran dunia.
Melalui mekanisme itu kata Shahrir, hanya pengguna yang layak sahaja akan diberikan subsidi ketika membeli minyak.
Bagaimanapun katanya, kriteria dan kaedah pemberian subsidi secara terus itu masih belum boleh diumumkan.
Sebelum ini, Shahrir berkata, diesel subsidi kemungkinan besar tidak lagi dijual di stesen minyak apabila penstrukturan semula subsidi bahan bakar negara dilaksanakan tidak lama lagi.
Langkah tersebut merupakan salah satu kaedah untuk memastikan golongan yang berhak sahaja menikmati subsidi diesel.
Menurut Shahrir, mekanisme baru itu juga secara tidak langsung akan dapat mengatasi masalah penyelewengan minyak bersubsidi.
“Sekarang minyak yang dibawa dari depot ke stesen minyak telah disubsidi,” katanya.
Akibatnya, kata beliau, jika lori tangki yang membawa minyak itu diseleweng sudah pasti ia menguntungkan pihak terbabit.
Dengan itu, katanya, mekanisme baru itu pasti dapat mengatasi masalah penyelewengan tersebut kerana subsidi hanya diberi ketika pengguna yang layak membeli bahan bakar terbabit.
Turut hadir pada sesi taklimat program dan aktiviti KPDNHEP Sabah itu ialah Pengarah KPDNHEP Sabah, Jaafar Walad; Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Putatan, Datuk Dr. Marcus Mojigoh.

Sumber UTUSAN MALAYSIA

INTRODUCTION

PATCO NGV Sdn Bhd strted operation in april 2006. The Company was incorporate n 29th May as EMC Sdn Bhd with its original main business in the importantion and assemnly of auto-aircondition compressors. The activity was later PATCO Malaysia Berhad(its holding company). The holding company (PMB) manufactures and assemble auto air conditioning components

In 2006, EMC Sdn Bhd was changed to Patco NGV Sdn Bhd. The renamed company started its operation in April of the same year.